sejarah pssgm
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) adalah sebuah
pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara pada 22
Oktober 1963 (Rujukan 361) pada mulanya, dan kemudiannya pula didaftarkan
kepada Pesuruhjaya Sukan pada 31 Julai 1998 (Rujukan 0149/98). Perubahan ini
berlaku apabila kerajaan telah menetapkan dasar melalui Akta Pembangunan Sukan
1997 supaya semua badan yang menjalankan kegiatan sukan hendaklah berdaftar
dengan Pesuruhjaya Sukan. Badan Pentadbiran Pertubuhan Silat Seni Gayong
Malaysia dibantu oleh dua organisasi dalaman yang ditubuhkan khusus untuk
mengukuhkan pengurusan pengembangan dan pembangunan Silat Seni Gayong Malaysia,
iaitu Lembaga Adat Istiadat dan Majlis Gurulatih. Penubuhan organisasi ini di
peruntukan dalam Perlembagaan Pertubuhan - merujuk kepada perkara 30 dan
perkara 31. Badan Pentadbiran Pertubuhan merupakan badan utama bagi
menggerakkan hal-hal yang berkaitan dengan merancang, melaksana dan mengawal
aktiviti-aktiviti pembangunan dan pengembangan sebagai sebuah Pertubuhan. Badan
ini berkait rapat dan berhubung secara langsung dengan urusan memenuhi
keperluan dasar-dasar kerajaan yang berkaitan. Disamping itu juga ia berperanan
sebagai agensi penghubung di antara organisasi luar, samada dari dalam negara
mahu pun luar negara, dengan isu-isu yang berkaitan pentadbiran Silat Seni
Gayong Malaysia. Lembaga Adat Istiadat pula memberi fokus kepada
merancang, melaksana dan mengawal pelaksanaan amalan adat-istiadat silat yang
diwarisi. Perkara-perkara yang diberi perhatian termasuklah hal-hal yang
berkaitan dengan penyampaian sandang-sandang kebesaran, adat perlimau tapak dan
seni, tatacara pemakaian serta penampilan dan pelaksanan protokol budaya
warisan. Majlis Gurulatih seterusnya berperanan dalam urusan merancang,
melaksana dan mengawal pembangunan dan pengembangan persilatan dari aspek
kurikulum latihan dan kejurulatihan. Ini termasuklah urusan mengumpul dan
menyusun pelajaran-pelajaran yang terdapat dari guru-guru kanan yang ditauliah
atau diketahui menguasai kemahiran yang diperturunkan oleh Allayarham Dato’
Meor Abdul Rahman.Merujuk kepada dasar yang ditetapkan dalam Akta Pembangunan
Sukan yang dinyatakan, badan-badan yang perlu berdaftar kepada Pesuruhjaya
Sukan ialah badan daerah, negeri dan kebangsaan. Gelanggang-gelanggang yang
ditubuhkan di dalam sesebuah daerah hanya perlu mendaftar atau bergabung di
bawah pengurusan daerah atau negeri (jika tiada daerah yang mendapat kelulusan
pendaftaran) yang telah diluluskan pendaftarananya oleh Pesuruhjaya
Sukan.Setiap pendaftaran daerah, atau negeri atau kebangsaan ini adalah secara
berasingan. Kewujudan badan-badan ini tidak ada kaitan di antara satu dengan
lain dari aspek penubuhannya. Pembatalan mana-mana badan di mana-mana peringkat
sekali pun tidak akan membabitkan pembatalan badan-badan lain. Contohnya jika
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia sesuatu Negeri terbatal pendafatarannya,
pendaftaran Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia daerah-daerah di negeri
berkenaan tidak terjejas. Begitu juga jika berlaku pembatalan pendaftaran badan
di peringkat kebangsaan, badan di peringkat negeri dan daerah boleh meneruskan
pentadbiran masing-masing tanpa sebarang sekatan dari mana-mana pihak
berkuasa.Setakat ini, kaitan yang jelas di antara daerah, negeri dan kebangsaan
ialah penggunaan nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Pertubuhan di
peringkat kebangsaan telah memohon jasa baik Pesuruhjaya Sukan supaya hendaklah
merujuk kepada badan kebangsaan ini jika terdapat mana-mana pihak yang memohon
untuk mendaftar dengan mengguna nama Gayong. Tujuannya ialah untuk mengelak
lebih banyak badan silat mengguna nama Gayong. Contohnya Gayong Fatani, Pusaka
Gayong, Gayong Warisan, Gayong Sundang, Gayong Ghaib, Gayong Ma’rifat dan
sebagainya. Jumlah yang ada ini pun telah banyak menimbulkan kekeliruan di
kalangan masyarakat umum, terutamanya dari aspek kesahihan, asal-usul dan
pentadbiran.
BIODATA DATO' MAHAGURU
Mahaguru Silat Seni Gayong ialah allahyarham Dato' Paduka
Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim. Beliau ialah seorang berketurunan
Raja Bugis dan Arab daripada susur galur Al-Attas.
Moyang beliau
yang terkenal berhijrah ke Tanah Melayu ialah Tengku Daeng Kuning. Daeng Kuning
merupakan seorang pahlawan terkenal yang digelar sebagai Panglima Hitam. Daeng
Kuning dikatakan mewarisi ilmu kependekaran daripada nenek moyangnya seorang
pendekar yang dikenali sebagai Pahlawan Gayong.
Pahlawan Gayong ialah seorang pendekar terbilang yang menguasai ilmu
persilatan secara zahir dan kebatinan. Beliau amat tersohor di kepulauan Melayu
dan digeruni oleh lawannya. Ada sumber yang mengatakan bahawa Dato' Laksamana
Hang Tuah adalah pewaris amanah ilmu Pahlawan Gayong. Seterusnya imu tersebut
diturunkan kepada Dato' Meor Abdul Rahman sebagai waris zuriat Pahlawan Gayong.
Daeng Kuning berhijrah dari Sulawesi ke Tanah Melayu selepas tahun 1800
Masehi. Penghijrahan tersebut ditemani oleh saudara mara beliau yang terdiri
daripada Daeng Merewah, Daeng Celak, Daeng Parani, Daeng Pelangi, Daeng
Mempawah dan Daeng Jalak. Mereka tujuh bersaudara belayar ke Tanah Melayu untuk
membina penghidupan baru dan menyatupadukan pahlawan-pahlawan Melayu.
Penghijrahan bangsa Bugis ke Tanah Melayu dipercayai bermula dari tahun 1667
Masehi apabila Makasar, Sulawesi jatuh ke tangan Belanda. Pahlawan Bugis yang
terkenal di gugusan Melayu pada ketika itu ialah Daeng Rilaka dan lima orang
putera beliau bernama Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Celak
dan Daeng Kemasi.
Penghijrahan Daeng Kuning tujuh
bersaudara ini berkemungkinan besar susulan daripada dasar campurtangan
Kerajaan Belanda yang semakin berleluasa di Kepulauan Sulawesi. Ada sumber yang
mengatakan bahawa Daeng Kuning adalah zuriat keturunan Daeng Merewah bin Daeng
Rilaka. Dua buah rombongan ini sudah pasti terdiri daripada orang yang
berlainan walaupun ada persamaan pada sesetengah nama. Ini berdasarkan
perbezaan masa yang agak ketara. Walau bagaimanapun, kaitan kekeluargaan antara
satu sama lain tidak dinafikan.
Penghijrahan tujuh bersaudara tadi
bukanlah bermaksud lari daripada medan peperangan , ia sebenarnya satu cara
untuk menyusun strategi balas. Matlamat mereka ialah untuk mengumpulkan para
pahlawan Melayu bagi menentang kuasa-kuasa asing yang menjajah negeri-negeri di
Nusantara.
Daeng Kuning dan saudaranya telah mempelopori gerakan gerila untuk
melumpuhkan pentadbiran penjajah di negeri-negeri Melayu. Walaupun ramai
pahlawan Bugis terlibat secara langsung dengan kancah politik negeri-negeri
Melayu seperti di Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Temasik dan
Kepulauan Riau, namun mereka tidak bersatu-padu. Malahan, ada di antara mereka
yang menjadi askar upahan kuasa-kuasa asing dan berperang sesama sendiri.
Oleh sebab itulah, ketika belayar di tengah lautan, Daeng Kuning telah
mengingatkan kembali matlamat penghijrahan mereka. Pesanan tersebut disampaikan
melalui bentuk pantun kepada saudara-mara beliau yang berbunyi;
Pecah Gayong Di Dalam Dulang,
Dulang Hanyut Di Lautan Tujuh;
Perpecahan Gayong Perpecahan Sayang,
Suatu Masa Dan Ketika Kembali Berteguh (berpadu)
Dalam tahun 1813 Masehi, Daeng Kuning tujuh bersaudara
telah mendarat di Kuala Larut, Perak sebelum pemerintahan Sultan Abdullah. Buat
sementara waktu mereka bermastautin di suatu tempat yang mereka namakan sebagai
Pengkalan Alur atau Relur Tujuh. Kini tempat tersebut dipanggil Kampung Ayer
Kuning, terletak di Taiping, Perak.
Hanya Daeng Kuning menetap di
Pengkalan Alur dan bertapa buat beberapa ketika di dalam sebuah gua di Bukit
Larut. Manakala saudara Daeng Kuning yang lain bergerak menuju ke Pahang,
Terengganu, Johor, Selangor, Melaka dan Kedah. Ada yang terus menetap di negeri
singgahan mereka dan ada antaranya yang meneruskan perjalanan berikutnya ke
Kepulauan Melayu lain.
Daeng Kuning telah mendirikan rumahtangga dengan seorang puteri raja Patani.
Perkahwinan tersebut menghasilkan seorang cahaya mata lelaki yang dinamakan Che
Ngah Tambah.
Daeng Kuning digelar oleh penduduk
tempatan sebagai Tok Hitam Dam. Gelaran tersebut cukup terkenal hinggakan
sebatang jalan di Kampung Pokok Assam dinamakan Jalan Tok Hitam Dam. Daeng
Kuning mangkat di Taiping, Perak dalam tahun 1875 Masehi. Makam beliau terletak
di Kampung Tupai, berdekatan Jalan Pokok Assam di Taiping. Ia telah diwartakan
sebagai bahan sejarah dan kini terletak di bawah jagaan Muzium Negara menurut
Akta Bendapurba, 1976.
Anak tunggal Daeng Kuning, Che Ngah
Tambah juga memiliki ilmu yang tinggi dan sifat kepemimpinan yang unggul.
Beliau merupakan tokoh yang membuka Daerah Larut-Matang dan dilantik menjadi
seorang Penghulu Besar bagi daerah tersebut.
Atas kewibawaan beliau, Che Ngah Tambah dilantik oleh Sultan Perak sebagai
salah seorang daripada Orang Besar Enam Belas Negeri. Che Ngah Tambah menetap
di kampung Ayer Kuning dan mempunyai empat orang isteri.
Che Ngah Tambah merupakan seorang
pembesar yang pemurah dan amat disegani. Tanah-tanah dalam bidangkuasanya
diagih-agihkan kepada penduduk tempatan atau sesiapa sahaja yang layak untuk
diusahakan atau dibuat penempatan.
Pemimpin-pemimpin Cina yang menjalankan aktiviti perlombongan di dalam
daerahnya juga amat menghormati beliau. Anak Che Ngah Tambah yang bernama Alang
Abdul Rahman telah dikahwinkan dengan salah seorang anak pemimpin Cina.
Pemimpin Cina berkenaan menawarkan anak beliau sebagai tanda persahabatan dan
hormat atas kepimpinan Che Ngah Tambah.
Hasil perkongsian hidup Che
Ngah Tambah dengan salah seorang isteri beliau, Allah SWT telah mengurniakan
lima orang cahayamata. Anak-anak mereka terdiri daripada Long Khadijah, Mariah,
Uda Mohd Hashim, Aminah dan Mariam. Anak-anak Che Ngah Tambah dengan
isteri-isteri yang lain setakat yang diketahui ialah Alang Abdul Rahman, Putih
Mohd Salleh dan Sareah. Che Ngah Tambah telah dimakamkan di perkarangan Masjid
Taiping (lama) dan nama beliau juga diabadikan pada sebatang jalan di Pokok
Assam, Taiping.
Uda Mohd Hashim merupakan ayahanda
kepada Dato' Meor Abdul Rahman. Uda Mohd Hashim ialah seorang arkitek yang
terkenal di Taiping. Beliau telah berkahwin dengan seorang janda cantik
berketurunan Arab bernama Syarifah Aluyah binti Syed Zainal al-Attas. Syarifah
Aluyah sebelum berkahwin dengan Uda Mohd Hashim telah mempunyai tiga orang anak
bernama Alin, Puteh dan Hendun.
Syed Zainal bin Syed Idris al-Attas berasal dari Pahang manakala isterinya
ialah orang tempatan Parit, Perak. Syed Zainal pernah dilantik sebagai seorang
penghulu di Pekan, Pahang. Beliau juga dikenali sebaga Dato' Jenal. Beliau
ialah salah seorang pembesar Pahang yang menentang penjajahan British
bersama-sama dengan Dato' Mat Kilau dan Dato' Bahaman.
Sebaik sahaja Uda Mohd Hashim berkahwin
dengan Syarifah Aluyah, mereka telah berpindah ke Lake Garden (Taman Tasek),
Taiping. Uda Mohd Hashim dan Syarifah Aluyah telah dikurniakan tiga orang
cahayamata iaitu Meor Abdul, Aziz, Meor Abdul Rahman dan Siti Sa'diah.
Selain menjalankan tugas seharian sebagai
seorang arkitek, Uda Mohd Hashim juga adalah salah seorang Ahli Majlis Daerah
Taiping. Kebanyakan rekabentuk rumah dan bangunan terutamanya di Kampung Pokok
Assam dan bandar Taiping adalah hasil kreativiti beliau. Sebagai ahli Majlis
Daerah, beliau berperanan merancang dan memajukan Daerah Taiping. Ini
membuatkan beliau dikenali ramai dan dihormati.
Latarbelakang keluarga yang begitu kuat dan berpengaruh sedikit sebanyak
telah membentuk peribadi Meor Abdul Rahman sebagai seorang pahlawan dan
pemimpin unggul seni silat abad ke-20.
Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd
Hashim dilahirkan pada 17 haribulan Ogos 1918 di Kampung Lake Garden, Taiping,
Perak. Ketika lahir beliau dinamakan Meor Abdul Hamid.
Sebelum dilahirkan, bonda beliau
bermimpi didatangi satu lembaga yang mengkhabarkan anak dalam kandungannya akan
menjadi seorang pahlawan yang gagah berani. Meor Abdul Rahman dilahir
berkembarkan seekor cacing. Kembar beliau itu setelah dibersihkan disimpan di
dalam sebuah tempurung kelapa jantan, kemudiannya dihanyut ke laut melalui
Teluk Kertang, Matang, Perak. Menurut kata bondanya, kelahiran sedemikian
adalah petanda awal bahawa Meor Abdul Rahman akan menjadi seorang pendekar yang
terbilang.
Apabila meningkat remaja, keluarga Meor
Abdul Rahman telah berpindah ke Kampung Pokok Assam, Taiping. Beliau mendapat
pendidikan awal di Sekolah Melayu Taiping dan persekolahan menengah di Sekolah
King Edwards VII, Taiping seterusnya di Government Trade School di Ipoh
sehingga tahun 1935.
Beliau menuntut ilmu persilatan dengan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas
ketika berusia lebih kurang 12 tahun. Sejak kecil beliau sering mendengar kisah
pahlawan dan sejarah perjuangan bangsa Melayu dari nendanya. Selama lebih
kurang 2 tahun, Meor Abdul Rahman menjalani latihan intensif setiap hari siang
dan malam.
Tempoh latihan tersebut dikira
terlalu lama berbanding rakan-rakan beliau yang khatam bersilat hanya menuntut
beberapa bulan sahaja contohnya di Ijuk, Changkat Jering dan Batu Kurau. Ini
mengakibatkan beliau sering diejek dan dipersenda umpama ' buah yang tidak
masak' oleh rakan-rakan sebaya. Apabila persoalan demikian dikemuka oleh
bondanya kepada Syed Zainal Al-Attas, jawapan yang diberi ialah cucunda beliau
akan dikhatam oleh orang ghaib pada suatu masa dan di suatu tempat di sempadan
Kedah dan Siam.
Sejak di alam persekolahan menengah
lagi Meor Abdul Rahman gemar keluar kampung untuk mencari pengalaman baru.
Dalam tempoh masa antara tahun 1933 sehingga 1935, beliau sering berulang-alik
ke Kedah menziarahi kanda iparnya, Hendon di Kota Sarang Semut, Kedah. Beliau
hanya menunggang basikal ke Kedah atau ke mana sahaja beliau tuju. Hubungan
beliau dengan kanda dan iparnya, Zainal Abidin amat erat. Ketika itu, kanda
iparnya bertugas sebagai seorang Inspektor Polis di Balai Polis Kota Sarang
Semut.
Ketika di alam persekolahan, Meor Abdul
Rahman mempunyai beberapa orang kawan rapat. Mereka ialah Bakar, Wan Noh bin
Haji Ismail, Wan Man bin Haji Ismail dan Aziz Khan. Mereka ini sering bersaing
dan bergerak bersama-sama dalam kelompok seperti remaja lain dalam pertengahan
dan lewat usia belasan tahun. Sejak dari sekolah menengah Meor Abdul Rahman
sudah terkenal dengan kekuatannya. Beliau digelar "Rahman The Strong
Man".
Gelaran itu diberi atas kemampuan istimewa
Meor Abdul Rahman. Beliau sering diminta oleh rakan-rakannya menunjukkan
kehandalan mengangkat objek yang berat dan melakukan kebolehan di luar
kebiasaan orang ramai. Setiap pengakuan yang beliau buat, mampu dibuktikan
kepada rakan-rakannya. Ini menyebabkan kata-kata beliau dipercayai dan diberi
gelaran sebagai orang gagah.
Setelah tamat persekolahan pada tahun 1935, Meor Abdul Rahman mula menetap
di rumah Hendon di Kuala Nerang, Kedah. Pada masa itu, Zainal Abidin telah
dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis dan bertugas sebagai Ketua
Polis Kuala Nerang. ASP Zainal Abidin merupakan seorang pegawai polis yang
tegas serta berani dan kuat berpegang kepada ajaran Islam. Meor Abdul Rahman
sendiri amat menghormati dan segan kepada kanda iparnya itu.
Pada suatu pagi ketika berada
di Kuala Nerang, beliau ternampak sebuah gelanggang silat. Setelah merisik,
Meor Abdul Rahman difahamkan bahawa guru gelanggang itu ialah Sudin, seorang
berketurunan Minangkabau. Beliau bekerja sebagai seorang penjahit topi dan
baju. Oleh kerana minat untuk terus mendalami ilmu persilatan, Meor Abdul
Rahman mengambil keputusan untuk melawat Sudin. Setelah berbincang, Sudin
bersetuju menerima beliau sebagai murid dengan mengenakan bayaran pengeras
permulaaan belajar sebanyak RM 1.70 dan khatam sebanyak RM 5.15 beserta seekor
ayam.
Malam keesokannya, Meor Abdul Rahman pun
datang dan menyerahkan duit pengeras sebanyak RM 1.70. Beliau diarah oleh Sudin
berlatih dengan murid-muridnya. Dalam latihan tersebut, Meor Abdul Rahman
dicuba oleh tiga orang murid lama Sudin. Niat mereka untuk menjatuhkan Meor
Abdul Rahman tidak kecapaian sama-sekali. Akhirnya, orang kanan Sudin bernama
Ali mengadu kepada Sudin bahawa adik ipar OCPD itu bukanlah calang-calang
orang. Setelah mendengar aduan Ali, Sudin berasa malu kerana muridnya bertiga
gagal menewaskan Meor Abdul Rahman seorang. Lalu beliau menghampiri Meor Abdul
Rahman dan menyapanya,"Kamu kalau nak belajar, buat cara nak belajar silat
betul-betul!".Maka dijawabnya Meor Abdul Rahman,"Saya dah kata, saya
ada juga belajar silat tapi tak khatam dari datuk saya, jadi tapak saya kalau
dapat diatasi baharulah saya belajar ".Sampuk Sudin,"Jadi nak cubalah
ye, hah cuba masuk !,"Balas Meor Abdul Rahman,"Guru saya kata tak
boleh masuk, kenalah orang yang mencabar tu masuk".
Kebetulan pada malam itu, ramai orang hadir menyaksikan latihan silat
tersebut termasuk YM Tengku Nong, cucunda Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang
berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerang.
Sudin yang berasa tercabar akibat ketewasan
murid-murid harapannya semakin terpukul apabila terpaksa berhadapan sendiri
dengan seorang budak belasan tahun. Oleh kerana perasaan marah dan ego telah
menguasai akal maka Sudin dengan sepantas kudrat mengatur serangan. Segala
tendangan dan sepakan Sudin dapat dielak dan ditangkis oleh Meor Abdul Rahman.
Setelah dirasakan cukup peluang diberi kepada Sudin, kini tiba gilirannya pula
untuk membuat serangan balas.
Dalam keghairahan usaha Sudin untuk menjatuhkan Meor Abdul Rahman, tiba-tiba
Sudin jatuh pengsan, puas dipulihkan sehingga memakan masa untuk sedar. Sebaik
sahaja agak pulih, Sudin mengaku kehandalan Meor Abdul Rahman dan menghulurkan
kembali duit pengeras yang diterima. Meor Abdul Rahman enggan menerima duit
tersebut malah menghadiahkannya kepada Sudin.
Di Kuala Nerang, Meor Abdul Rahman
berpeluang memenuhi hobi berburu, beliau mempunyai kemahiran istimewa pasang
jerat dan ajuk burung. Kemahiran ini diperolehi hasil pergaulan luas dengan
berbagai lapisan masyarakat dan kegemaran meneroka sesuatu yang baru. Kedudukan
Meor Abdul Rahman sebagai adik ipar Ketua Polis Daerah dan sifatnya yang
peramah menyebabkan beliau dihormati dan dikenali ramai di daerah tersebut. Ini
memudahkan beliau mendapat kerjasama dari penduduk tempatan jika berhajatkan
sesuatu. Meor Abdul Rahman amat cekap berburu dan sering berkongsi hobi dengan
Tengku Nong. Beliau sering menggunakan salah satu daripada enam laras senapang
kepunyaan Tengku Nong.
Di samping hobi berburu, beliau sejak usia awal belasan tahun sudah mengamalkan
latihan angkat berat, bina badan dan bertinju. Oleh demikian, sejak daripada
usia remaja beliau telah memiliki tubuh yang cantik dan tegap. Beliau juga
istiqamah dalam melakukan senaman gerak badan dan pernafasan yang diajar oleh
Syed Zainal. Latihan seumpama itu menambahkan kekuatan fizikal beliau di
samping meningkatkan kecekapan bakat bersilat yang sedia ada.
Pada suatu hari dalam tahun 1936,
Meor Abdul Rahman keluar bersiar-siar di Pekan Rabu, Kuala Nerang. Di sana
beliau berkenalan dengan seorang perempuan tua beruban dan bertelinga labuh
sepanjang 6 inci. Perempuan tua itu sedang menjual burung dan akar-akar kayu
yang dibawa dari Mee Nam, Selatan Thailand. Perempuan tua itu memperkenalkan
dirinya sebagai Tok Mek Jah dan menceritakan kehidupannya di Mee Nam. Meor
Abdul Rahman begitu tertarik mendengar pengalaman Tok Mek Jah dan menyatakan
hasrat untuk mengikutnya pulang ke Mee Nam.
Pada mulanya Tok Mek Jah agak keberatan mengajak beliau kerana khuatir
tempat tersebut tidak sesuai dengan Meor Abdul Rahman apatah lagi perjalanannya
juga amat jauh. Setelah Meor Abdul Rahman mendesak dan menyatakan kesanggupan
untuk mengharungi perjalanan yang jauh serta kesukaran mendapatkan makanan
halal, maka Tok Mek Jah pun bersetuju membawanya bersama-sama.
Keesokannya, tanpa pengetahuan ASP
Zainal, Meor Abdul Rahman mengambil sepucuk pistol kanda iparnya yang disimpan
dalam sebuah almari. Beliau juga meminjam selaras senapang daripada Tengku Nong
dan membawa bersamanya 30 biji peluru. Mereka bertolak menuju ke Mee Nam
setelah Tok Mek Jah selesai membeli barang-barang keperluan untuk dibawa pulang
ke kampungnya.
Dalam perjalanan tersebut, mereka
singgah di Padang Sanai. Di Padang Sanai, beliau sempat menyaksikan
pertandingan tinju Siam. Oleh kerana kesempitan wang, beliau menyatakan
hasratnya kepada Tok Mek Jah untuk menyertai pertandingan tinju bagi
mendapatkan sedikit wang saku. Walaupun Tok Mek Jah menasihatinya supaya tidak
bertanding, namun desakan keadaan telah memaksa Meor Abdul Rahman meneruskan
hajat tersebut. Beliau dengan berani masuk ke gelanggang Tinju Siam tersebut
tanpa memikirkan risiko yang akan ditempuhinya. Dalam pertandingan itu, beliau
telah memenangi setiap pertandingan yang dijalankan secara kalah mati.
Lawan?lawannya tersungkur akibat dibelasah dengan teruk sehingga separuh mati.
Ini telah mengakibatkan rasa kurang senang jaguh-jaguh Siam yang hadir,
lebih-lebih lagi menyaksikan rakan-rakan mereka tumbang dengan seorang asing.
Melihatkan keadaan yang semakin membimbangkan dan ada ura-ura perbuatan khianat
dirancang terhadap Meor Abdul Rahman, Tok Mek Jah terpaksa menarik keluar Meor
Abdul Rahman dari gelanggang tersebut dan menasihatinya agar beredar dengan
seberapa segera sebelum perkara buruk terjadi.
Mereka dengan segera meneruskan
perjalanan sehingga tiba di rumah Tok Choh di Padang Terap. Meor Abdul Rahman
memaklumkan hasratnya untuk ke Mee Nam kepada Tok Choh. Tok Choh menjelaskan
bahawa perjalanan ke sana memakan masa selama 4 hari dan apa saja yang dijumpa
akan menjadi makanan untuk mengalas perut. Meor Abdul Rahman sekali lagi
menjelaskan bahawa beliau bersedia mengharungi perjalanan yang jauh dan boleh
menembak untuk mendapatkan makanan halal. Penjelasan Meor Abdul Rahman itu
memuaskan hati Tok Choh. Keesokannya mereka bertiga bertolak sambil ditemani
oleh seorang guru agama bernama Haji Taib.
Dalam perjalanan itu mereka berhenti di Kuah.
Di kampung tersebut tidak kedapatan seorang pun bangsa Melayu. Kesemua
penduduknya ialah Siam. Mereka menumpang rehat di rumah Lee Chon, Tok Batin di
situ. Semasa tinggal di Kuah, Meor Abdul Rahman telah dijadikan sebagai anak
angkat Lee Chon.
Semasa di Kuah juga, Meor Abdul
Rahman dicabar oleh pendekar?pendekar Tinju Siam untuk bertanding.
Bagaimanapun, untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, beliau
terpaksa menunjukkan kekuatannya mematahkan duit syiling dengan hanya
menggunakan tiga jari sahaja, sebahagian duit syiling yang telah dipatahkan itu
dihadiahkan kepada pencabarnya sebagai tanda persahabatan. Kebolehan istimewa
Meor Abdul Rahman itu dengan secara spontan menundukkan para pencabar dan
menyebabkan mereka mengaku kalah sebelum bertarung.
Setelah dua malam di rumah Lee Chon, mereka pun meneruskan perjalanan ke Mee
Nam. Rumah penduduk Mee Nam berdindingkan kulit. Mereka yang berada
berdindingkan kulit rusa manakala yang miskin berdindingkan kulit kayu. Meor
Abdul Rahman menetap di rumah Tok Mek Jah yang dindingnya diperbuat daripada
kulit rusa.
Selepas tiga hari di rumah Tok Mek
Jah, Meor Abdul Rahman mengambil keputusan untuk mandi bagi menyegarkan
tubuhnya. Tok Mek Jah berpesan agar beliau berjalan ikut anak sungai sehingga
melepasi rumah penduduk kampung tersebut.
Setelah puas mandi, beliau terlelap di
atas sebuah batu hampar yang besar berwarna hitam di tebing sebatang sungai.
Dalam lelap, beliau telah bermimpi didatangi seorang tua berjubah putih.
Apabila orang tua berjubah putih menghampirinya secara tiba?tiba ia menjelma
sebagai seorang pemuda berbadan tegap dan sasa yang segak lagi tampan lengkap
berpakaian hulubalang Melayu serta berkeris seperti zaman dahulu kala. Orang
itu memperkenalkan dirinya sebagai Dato' Hang Tuah lalu mencurahkan segala
rahsia ilmu Seni Gayong kepada beliau dan akhirnya berkata,"Akulah
Hulubalang Melaka yang tinggal di sini. Sekarang aku khatamkan kamu dan
baliklah ke negeri Perak mengadap raja kamu sepertimana aku berkhidmat dengan
Sultan Melaka. Kamu sekarang orang yang paling gagah selagi kamu mematuhi
syarat dan berpegang kepada janji "Lembaga itu meneruskan kata?kata,"
Ngangakan mulut kamu ", lalu diludahkan ke dalam mulut Meor Abdul Rahman.
Pada saat dan ketika inilah, Meor Abdul
Rahman diamanahkan untuk mengajar Silat Seni Gayong kepada semua insan yang
beragama Islam berdasarkan syarat?syarat dan adat?adat yang tertentu mengikut
masa?masa yang tertentu. Batu hitam tempat beliau berbaring itu dipercayai
tempat allahyarham Dato' Laksamana Hang Tuah pernah berpijak. Batu Hitam inilah
yang dirujukkan oleh Panglima Hitam atau Tengku Daeng Kuning apabila beliau
berseru,"Batu Hitam Tidak Berjodoh, Batu Hitam Tidak Bergadoh, Anak?
anakku yang ingin belajar Gayong, Hendaklah berpakaian serba hitam ."Meor
Abdul Rahman tertidur sehingga keesokan harinya. Setelah tersedar daripada
tidur, beliau merasakan dirinya diresapi oleh kegagahan yang luar biasa.
Perkara tersebut segera dimaklum kepada Pak Choh dan Tok Mek Jah. Meor Abdul
Rahman dengan segera memohon keizinan keluarga angkatnya itu untuk berangkat
pulang ke Taiping.
Setibanya di Taiping,
Mahaguru Meor Abdul Rahman menceritakan detik pengalaman tersebut kepada ahli
keluarganya. Atas nasihat Syed Zainal, Mahaguru pergi mengadap Paduka Seri
Sultan Alang Iskandar yang sedang bersemayam di Manong, Perak. Beliau dititah
untuk menunjukkan kekuatan di hadapan baginda sultan. Pada sebelah malamnya,
beliau dititahkan pula mempamerkan kebolehan luarbiasanya di Istana
Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Setelah berpuashati dengan kegagahan
Mahaguru, baginda sultan menggelarkan beliau 'Rahman Sendo' dan dijadikan anak
angkat baginda. Mahaguru menetap bersama-sama Sultan Alang Iskandar di istana
sehinggalah baginda mangkat dalam tahun 1938.
Silat Seni Gayong buat pertama kalinya diperkenalkan ialah di Taiping,
Perak. Mahaguru menzahirkan ilmu pusaka dan amanah yang diterima dari
allahyarham Dato' Laksamana Hang Tuah di kalangan ahli keluarga dan rakan
terdekat.
Tidak berapa lama setelah keluar dari
Istana, mahaguru dijodohkan dengan Che Kalsom Bt Haji Kechik, anak angkat
kandanya Hendon. Perkahwinan mereka dilangsungkan di Kota Sarang Semut, Kedah.
Tidak lama selepas berkahwin, Mahaguru
dengan ditemani seorang sepupunya, Zainal Abidin bin Putih Mohammed Saleh
(Bidin) bermusafir ke Singapura untuk mencari rezeki di sana. Pekerjaan pertama
Mahaguru di Singapura ialah di Naval Base sebagai seorang tukang pateri.
Setelah 6 bulan bekerja di sana, beliau ditawar pekerjaan oleh Pengarah
Pendidikan Singapura berkhidmat dengan pasukan tentera British di bahagian
Royal Signal Corps.
Setelah beliau berjaya menewaskan
seorang jurulatih tempur berbangsa Hong Kong di Gillman Barrack, Mejar Malburn
melantik beliau sebagai jurulatih tempur tanpa senjata dalam pasukan tentera
British. Ini merupakan satu penghormatan besar kerana belum ada seorang Melayu
pun diberi tugas tersebut sebelum itu. Beliau berkhidmat dalam pasukan ini
sehingga tahun 1942.
Semasa berkhidmat di Bahagian
Signal Corps, pada bulan November 1941, beliau melangsungkan perkahwinan kedua
dengan anak sepupunya, Paridah bt Yusope.
Apabila Jepun menyerang Singapura
pada bulan Februari 1942. Mahaguru membawa keluarganya berperahu menyeberangi
lautan api ke Pulau Sudong. Setelah berjaya menewaskan Wak Kusang, pendekar
Pulau Sudong baharulah mereka diterima berlindung buat sementara waktu di sana.
Pada 17 haribulan Februari 1942 jam 2.00
petang, seramai 7 orang pemuda Pulau Sudong diperlimau sebagai murid Gayong.
Mereka ialah Naning bin Ahmad, Ahmad Arshad bin Haji Hassan, Sabtu bin Likur,
Yusof bin Rantau, Osman bin Timpong, Mustapha bin Bengkok dan Bendol bin
Benggol. Mereka terpilih untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun yang ingin
merampas gadis Pulau Sudong untuk dijadikan pemuas nafsu ganas mereka. Atas
kebijaksanaan Mahaguru, penduduk Pulau Sudong terselamat dari keganasan tentera
Jepun.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu,
Mahaguru pernah ditangkap kerana mencederakan sekumpulan tentera Jepun yang
cuba memperkosa isteri pertamanya. Beliau kemudiannya dibebaskan setelah lebih
sebulan dipenjara apabila sekumpulan pegawai penjara Jepun berjaya
ditewaskannya dalam satu pergaduhan. Atas nasihat seorang jurubahasa Jepun,
Mahaguru telah dibebaskan. Bagi menjamin keselamatan keluarga dan penduduk
kampungnya, beliau terpaksa menerima tawaran bekerja sebagai seorang tentera
Jepun. Tidak berapa lama kemudian, beliau berkahwin dengan Syarifah Rehan bt
Syed Chik. Perkahwinan tersebut hanya berkekalan selama sebulan sahaja sebagai
memenuhi hajat keluarga semata-mata.
Setelah dua tahun berkhidmat dengan
pentadbiran Jepun, Mahaguru kembali ke Pulau Sudong. Tidak berapa lama berada
di Pulau Sudong, beliau dilantik menjadi penghulu oleh penduduk Pulau Sudong.
Apabila British mengambilalih semula pemerintahan Singapura, Mahaguru dilantik
secara rasmi sebagai Penghulu Besar Pulau Sudong dan kepulauan sekitarnya.
Pulau Sudong dijadikan pusat
perkembangan Silat Seni Gayong sehingga ia merebak ke pulau-pulau berhampiran
seperti Pulau Seking, Pulau Bukum, Pulau Sebaruk, Pulau Sekijang, Pulau
Sembilan, Pulau Semakom dan Pulau Damar. Mahaguru juga telah menggunakan Silat
Seni Gayong untuk menyelamatkan penduduk Pulau Terung daripada ancaman lanun di
perairan pulau tersebut. Dari pulau ini, Silat Seni Gayong tersebar ke
lain-lain pulau di Indonesia.
Dalam tahun 1947, Kerajaan British menawarkannya jawatan sebagai pegawai di
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura. Mahaguru ditugaskan untuk mengawasi
dan menangkap pemimpin politik Melayu yang meniupkan semangat anti-British.
Peluang ini diambil oleh beliau untuk menyalur maklumat sulit kepada
pejuang-pejuang kemerdekaan seperti (Tun) Sardon bin Jubir, peguam dan tokoh
politik terkenal di Singapura.
Setelah empat bulan di Jabatan Keselamatan
Dalam Negeri, Mahaguru memohon bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah. Pada
mulanya beliau ditempatkan di Bahagian Merinyu Timbangan untuk mencegah
aktiviti penyeludupan dan penipuan. Kemudiannya beliau ditukarkan pula ke
Bahagian Kepolisian di Balai Polis Central, Singapura sebagai seorang pegawai
berpangkat sarjan. Pada 23 haribulan Disember 1947, Mahaguru dianugerahkan
pingat King George IV atas sifat keberanian semasa berbakti kepada masyarakat
dan kerajaan Singapura.
Silat Seni Gayong mula
berkembang di pulau besar Singapura pada akhir tahun 1949. 7 orang murid
pertama yang menjalani upacara perlimau Tapak ialah Ahmad Sudi, Mansor bin
Fadal, Ustaz Mansor, Sinwan, Joned bin Hanim, Hosni bin Ahmad dan Salim.
Sinwan, Joned bin Hanim dan Salim merupakan anggota Jabatan Siasatan Jenayah
Singapura yang terawal menjadi murid Gayong. Pusat Latihan Silat Seni Gayong
dalam tahun 1950-an di pulau besar Singapura ialah di Bakar Sampah.
Dalam tahun 1954, kumpulan pertama wanita seramai 7 orang telah memasuki
Silat Seni Gayong di Singapura. Mereka ialah Che Kalsom bte Haji Kechik,
Paridah bte Yusope, Asmah (isteri Joned bin Hanim), Aisyah (isteri Mansor
Fadal), Rafeah bin Fadal, Hendon dan Intan.
Pada pertengahan tahun 1950-an,
ramai bintang filem Melayu mempelajari Silat Seni Gayong. Antaranya ialah Jasni
bin Ahmad, Neng Yatimah, Kasma Booty, dan A. Rahim. Penglibatan tokoh pelakon
yang terkenal tersebut sedikit sebanyak membawa pengaruh Silat Seni Gayong di
dalam aksi pertarungan filem-filem Melayu di Studio Jalan Ampas.
Kemuncaknya dalam tahun 1956, Dato'
Onn bin Jaafar, seorang tokoh politik dan pemimpin Melayu yang disegani telah
menjadi murid Gayong. Beliau dilantik sebagai Penasihat Agung dan Waris Beradat
Silat Seni Gayong. Dato' Onn banyak memberi idea dan sumbangan untuk
menggerakkan Silat Seni Gayong dan meniupkan semangat patriotik di kalangan
murid Gayong. Usaha beliau itu diberi sokongan kuat oleh isterinya, Datin
Zainab dan anggota keluarganya yang lain termasuklah anaknya bernama Nasir dan
Hussein. Husein kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia Kedua.
Tidak lama kemudian, YAM Tengku
Laksamana Kedah Tunku Kassim ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halimshah
menyertai Silat Seni Gayong. Pada akhir tahun 1956, satu rombangan Silat Seni
Gayong dari Singapura yang dipimpin sendiri oleh mahaguru telah mengadakan
persembahan di Istana Anak Bukit dan Kelab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar,
Kedah atas undangan Tunku Kassim. Pertunjukan tersebut telah disaksi oleh DYMM
Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halimsyah, Sultan Kedah Darul
Aman. Ini merupakan cubaan pertama untuk mengembangkan sayap Silat Seni Gayong
di Kedah.
Penglibatan Tunku Kassim dalam Silat Seni Gayong menjadi ikutan di kalangan
kerabat Di-raja Kedah. Bagaimanapun, Silat Seni Gayong gagal berkembang di
kalangan rakyat jelata memandangkan jurang taraf yang amat ketara pada ketika
itu.
Pada awal tahun 1959, sebuah
akademi silat bernama Sekolah Gayong Woodlands atau Institute Of Gayong
Woodlands telah ditubuh oleh mahaguru. Akademi ini mengeluarkan Sijil dan
Diploma bagi mereka yang lulus dalam kursus-kursus yang ditawarkan. Antara
tenaga pengajar di peringkat awal yang membantu mahaguru ialah Cikgu Nordin bin
Abdul Rahman, Cikgu Sidek bin Shamsuddin, Cikgu Abdul Majid bin Omar, Cikgu
Atan bin Osman dan Cikgu Ramli. Akademi ini juga dijadikan sebagai Pusat
Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong.
Mahaguru bersara daripada perkhidmatan kerajaan dalam tahun 1961 untuk
bergiat cergas mengembangkan Silat Seni Gayong.
Setelah mahaguru memikirkan bahawa
beliau memerlukan seorang pembantu dalam mentadbir urusan kegurulatihan dan
pelajaran Silat Seni Gayong, maka dalam tahun 1962, Cikgu Abdul Majid bin Mat
Isa dilantik sebagai Guru Tertinggi Silat Seni Gayong merangkap Timbalan
Pengarah Guru-guru di Malaysia dan Serantau.
Tidak lama kemudian, Pusat Latihan Tertinggi dipindahkan dari Woodlands ke
Kota Sarang Semut, Kedah.
Atas nasihat dan komitmen YM
( Dato' ) Syed Ahmad bin Syed Idris Jamalulail dan YB ( Dato' ) Senu bin Abdul
Rahman, mahaguru mula didekati pemimpin negara dan perjuangan Silat Seni Gayong
telah dilihat sebagai satu mekanisme yang boleh menyatupadukan bangsa Melayu
dan orang-orang Islam.
Silat Seni Gayong mula tersebar luas di Semenanjung Tanah Melayu atas daya
usaha guru-guru Gayong yang pada ketika itu terdiri daripada Cikgu Abdul Majid
bin Mat Isa, Cikgu Ramli bin Mat Arof, Cikgu Awang bin Daud, Cikgu Ismail bin
Chik, Cikgu Ibrahim bin Abdullah, Cikgu Mohd Khir bin Saad, Cikgu Mohd Desa
Lim, Cikgu Ahmad Lazim dan Cikgu Siti Kalsom.
Pada tanggal 31 haribulan Ogos
1967, Gayong dijemput menyertai perarakan sempena menyambut ulangtahun ke-10
kemerdekaan tanahair. Ini menandakan satu pengiktirafan pemimpin negara
terhadap perjuangan dan usaha mahaguru untuk memartabatkan seni silat Melayu.
Pada akhir tahun 1969, Mahaguru mula
menetap di Air Kuning, Taiping. Seterusnya dalam masa ini juga, sistem
tingkatan bengkong dan pelajaran Silat Seni Gayong secara lebih sistematik
telah disusun oleh beliau dengan dibantu oleh guru-guru kanan. Tahap pelajaran
telah disusun mengikut tingkatan bengkong yang dikategorikan mengikut warna.
Sebelumnya hanya terdapat beberapa warna bengkong sahaja iaitu merah, kuning
dan hitam.
Dalam tahun 1970, Mahaguru mengikuti
rombongan kebudayaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia Dan Sukan Malaysia
selama dua minggu ke Osaka, Jepun. Lawatan tersebut sedikit sebanyak telah
berjaya memperkenalkan Silat Seni Gayong di peringkat dunia.
Pada 27 haribulan Januari 1971,
Pusat latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau telah
dirasmikan oleh DYMM Sultan Idris Syah ibni Almarhum Sultan Alang Iskandar di
Air Kuning, Taiping.
Kemuncaknya, pada 3 haribulan Julai 1971, Sultan Idris Syah berkenan untuk
menjalani istiadat perlimau tapak dan menerima perlantikan baginda sebagai
Penaung Agong Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau bergelar Sang Sa Purba.
Istiadat tersebut disempurnakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala
Kangsar.
Pada 17 haribulan September
1971, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Chura Si Manja
Kini yang membawa gelaran Dato' Paduka oleh KDYMM Sultan Idris Syah atas jasa
dan pengorbanan yang tidak ternilai kepada agama, bangsa dan negara. Pada
sebelah petangnya murid-murid Gayong seluruh Malaysia telah menyambut perayaan
Hari Sang Sa Purba yang pertama. Sambutan ini disempurnakan di Padang Sekolah
Kebangsaan Changkat Larut, Ayer Kuning, Taiping. Kemasukan baginda Sultan Idris
ke dalam Silat Seni Gayong telah disertai sama Raja Perempuan dan isteri-isteri
baginda juga anggota kerabat yang lain.
Pada tanggal 21 haribulan Julai
1971, Dato' Mahaguru ditemani Syed Ahmad Jamalulail dan Syed Jaafar Albar
berangkat ke London untuk membawa pulang YAM Raja Kechil Bongsu Raja Izzuddin
Syah ibni Sultan Idris Syah ke tanahair.
Semasa singgah di Hong Kong dalam perjalanan pulang ke Malaysia, mereka
telah ditemui Bruce Lee, pakar seni beladiri terkenal. Dalam pertemuan singkat
itu, Dato' Mahaguru sempat bertukar fikiran dan maklumat tentang seni beladiri
Melayu dan Cina dengan Bruce Lee. Bruce Lee juga telah mengakui kehandalan
Dato' Mahaguru dan kehebatan Silat Seni Gayong.
Tahun 1970-an menyaksikan usaha penyatuan
pemimpin tertinggi Melayu dan kerajaan melalui Silat Seni Gayong diusahakan
oleh Dato' Mahaguru. Raja-raja dan para pembesar Melayu juga berkenan untuk
menaungi pergerakan Silat Seni Gayong hampir di seluruh negeri Tanah Melayu.
Pada satu ketika hampir 2/3 anggota kabinet negara Malaysia terdiri daripada
ahli Gayong di bawah pimpinan Tun Abdul Razak.
Sehingga akhir tahun 1980-an, tidak kurang juga tokoh dan pakar senibela
asing datang melawat Dato' Mahaguru di Pusat Latihan Tertinggi dengan tujuan
berkenalan, menuntut atau menguji kehandalan masing-masing. Semua cubaan dan
dugaan tersebut berjaya diatasi dengan baik dan berkesan. Tidak kurang juga
daripada pelawat tersebut yang memeluk ajaran Islam setelah berpeluang bertemu
dan berbincang dengan Dato' Mahaguru.
Pada saat-saat akhir hayat
beliau, Dato' Mahaguru sering berpesan agar murid-murid Gayong kembali
bercantum dan bersatu-padu. Muda-mudi diseru menuntut bersungguh-sungguh ilmu
yang telah diperturunkan kerana ia amat berguna pada suatu masa nanti. Semua
murid Gayong ialah pemegang amanah Silat Seni Gayong dan bertanggungjawab
memelihara dan menjaga segala amanah beliau.
Pada tanggal 23 haribulan Jun
1991, Dato' Mahaguru telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham menghembuskan
nafas terakhir di Ipoh Specialist Centre, Jalan Lumba Kuda, Perak. Semoga Allah
menempatkan Pendita Agung Silat Melayu Abad ke-20 di kalangan hamba-Nya yang
soleh dan dirahmati. Al-Fatihah
silibus pelajaran
awan putih (sem 1)
Asas Elakan 1
1. Tangkis Kuak Sisi Dalam
2. Tangkis Bawah
3. Tangkis Atas / Sangga Langit
4. Kilas Dayung Tebar Jala
5. Masuk Luar Tumbuk Pintal Tali
6. Elak Dalam
7. Juring Pelipat Balas Pancung
Buah Tapak Kunci Mati
1. Kilas Sawa Berendam
2. Kilas Payung / Patah Dayung Pikul Mayat / Pangku Mayat
3. Kilas Sangga Maut/ Tali Gantung / Umpil Dayung Tali
Gantung
4. Kacip Emas / Kancing Emas
5. Patah Dayung / Pasung Emas
6. Cekak Banting (Kacip Emas) / Kacip Emas Cekak Banting
7. Kacip Selak Emas / Selak Mati Kacip Emas / Kacip Emas
Kilas Dayung
pelangi hijau (sem 2)
Asas Elakan 2
1. Tolak Lintang Kiri
2. Tolak Lintang Kanan
3. Tebar Jala Kanan
4. Rimbat Helang Kiri
5. Rimbat Helang Kanan
6. Jala Tebar Kanan
7. Rimbat Relang Balas Juring Kiri
Buah Tapak Kunci Mati
1. Kilas Sawa Berendam
2. Kilas Payung / Patah Dayung Pikul Mayat / Pangku Mayat
3. Kilas Sangga Maut / Tali Gantung / Umpil Dayung Tali
Gantung
4. Kacip Emas / Kancing Emas
5. Patah Dayung / Pasung Emas
6. Cekak Banting (Kacip Emas) / Kacip Emas Cekak Banting
7. Kacip Selak Emas / Selak Mati Kacip Emas / Kacip Emas
Kilas Dayung
8. Pasung Cina
9. Tali Gantung / Malaikul Maut
10. Kilas Dayung Tali Gantung
11. Selak Mati (Buaya Berendam) / Kilas Maut
12. Kilas Tali / Patah Dayung Tali Gantung / Pasak Lintang
13. Tolak Lintang (Kacip Emas) / Pasung Bumi
14. Sekapur Sirih / Selak Dayung Buaya Berendam / Selak Mati
15. Patah Layar Perahu Karam
16. Patah Julang / Patah Dayung Perahu Karam / Patah Selak
Dayung
17. Patah Sangga / Selak Mati Patah Gelang Geta / Rangkam
Dayung
18. Kilas Biawak / Patah Dayung Selak Mati Buaya Berendam
19. Sangga Kilas Patah Tebu / Patah Tebu Selak Dayung Kacip
Emas / Umpil Maut
20. Pasak Mati / Tembi Siku Pasung Emas Patah Dayung /
Lintang Mayat
21. Kilas Buaya Berendam / Kuda Gila Lipat Maut Buaya
Berendam
pelangi merah (sem 3)
Serangan Harimau
1. Patah Dayung Nasi Hangit
2. Patah Dayung Kuda Gila
3. (Tarian) Kuda Gila
4. Humban Ketam Kawah Pecah
5. Kipas Gayong Selak Gayong
6. Jinjit Kuali Kawah Pecah / Pangku Mayat Pecah Kawah
Hentak Kawah
7. Kibas Gayong Pasak Gayong Selak Gayong
8. Tembi Gayong Pasak Gayong Selak Gayong
9. Lipat Gayong Pangku Kawah Pecah Kawah Kelek Kawah
10. Kawah Sepit Pecah Tebu / Pangku Mayat Pancung Kawah
Hentak Kawah
11. Tendang Kuda Kawah Tiarap
12. Tembi Kilas Pangku Mayat Kawah Pecah
13. Gasing Emas Tiarap Kawah
14. Panku Lutut Patah Tebu
15. Pangku Mayat Pancung Kawah Hentak Kawah
16. Pecah Kawah
17. Pikul Kawah Buang Kawah
18. Lambung Kawah Kawah Sepit Patah Tebu
19. Pangku Lutut Patah Tebu
20. Pulas Tebu Buang Kawah Jejak Tebu Patah Pucuk
21. Tarian Kuda Gila
bengkung & sandang
Tahap Pencapaian Bengkong
Terdapat 5 warna tahap bengkong untuk Silat Seni Gayong
Malaysia
Asas - Hitam Kosong
Awan Putih
Pelangi Hijau
Pelangi Merah
Pelangi Merah Chula 1 hingga 3
Pelangi Kuning
Pelangi Kuning Chula 1 hingga 5
Pelangi Hitam Harimau Chula Sakti 1 hingga 6
(Tahap Tertinggi Silat Gayong Terkini)
Pelangi Hitam Harimau Chula Sakti 7
(Milik Kekal Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman)
SANDANG KEBESARAN SILAT SENI GAYONG
Sandang kebesaran ini adalah hak progatif (istimewa) Dato' Mahaguru. Selepas
pemergiannya, kuasa untuk menganugerahkan sandang kebesaran ini terletak kepada
Lembaga Waris Amanah.
Sandang kebesaran ini dianugerahkan kepada individu tertentu mengikut
kategorinya. Kategori sandang kebesaran terbahagi kepada:
1. Sandang Mahaguru
2. Sandang Protokol
3. Sandang Berjawatan
4. Sandang Kegurulatihan
5. Sandang Kehormat
6. Sandang Khas
Sandang Mahaguru
Sandang ini hanya layak dimiliki oleh Allahyarham Dato' Mahaguru Meor Abdul
Rahman bin Daeng Uda Mohd. Hashim selaku Pewaris Agung Gayong.
Sandang Protokol
Sandang ini dianugerahkan kepada KDYMM Raja-raja Melayu dan pemimpin-pemimpin
negara atau negeri yang menerima perlantikan dalam jawatan protokol Lembaga
Beradat Kebangsaan.
Sandang Berjawatan
Sandang ini dianugerahkan kepada ahli Gayong yang diamanahkan menduduki jawatan
samada dalam ahli eksekutif atau ahli Jawatakuasa Agung Lembaga Beradat
Kebangsaan, ahli jawatankuasa Lembaga Beradat Negeri dan ahli Majlis Teringgi
Gurulatih.
Sandang Kegurulatihan
Sandang ini dianugerahkan kepada guru atau jurulatih Gayong yang mencapai tahap
pelajaran dan kebolehan tertentu.
Sandang Kehormat
Sandang ini dianugerahkan kepada ahli Gayong atau individu tertentu sebagai
satu penghargaan atas jasa atau sumbangan mereka kepada pembangunan negara dan
Silat Seni Gayong.
Sandang Khas
Sandang ini adalah sandang peribadi yang dianugerahkan kepada pemimpin negara
dan murid atau guru Gayong yang mempunyai kebolehan khas tertentu. Corak
sandang ini bergantung kepada pemakainya.
- Harimau
Singa Berantai
- Kuda
Gila
- Singa
Berantai
- Naga
Bora
- Harimau
Berantai
- Lipan
Bara
- Kumbang
Hitam
Mana-mana sandang yang ingin ditauliahkan kepada individu
yang layak boleh disyorkan oleh Majlis atau Jawatankuasa berkenaan tetapi tiada
Sandang Berjawatan Peringkat Kebangsaan, Sandang Kegurulatihan, Sandang
Kehormat dan Sandang Khas boleh ditauliahkan tanpa mendapat kelulusan Waris
Amanah Mahaguru atau Lembaga Waris Amanah terlebih dahulu.
BUKA ADAT & GELANGGANG
Latihan dimulakan dengan adat membuka gelanggang dan
diakhiri adat penutupan gelanggang.
Upacara ini disempurnakan dengan membaca ayat-ayat
berikut:
Surah Al-Fatihah
(1 kali)
Surah Al-Ikhlas
(11 kali)
Selawat ke atas
Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. (3 kali)
Berdoa semoga dijauhkan segala bahaya dan niat khianat
iblis, jin, manusia dan binatang serta memohon diberkati pelajaran yang
dituntut. Doa kesyukuran kerana latihan ditamatkan dengan baik daripada mula
hingga akhir dan semoga mendapat keredhaan serta rahmat Allah s.w.t.
Jika ada berkat
doa dan bacaan-bacaan yang dibacakan, ianya dihadiahkan kepada Nabi Muhammad
s.a.w., sekelian Rasulullah, nabi-nabi, wali-wali, al-marhum Dato' Mahaguru
serta zuriatnya, kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat murid Gayong serta seluruh
murid dan ahli Gayong yang telah meninggal dunia baru atau lama.
Jika sekiranya hari latihan
jatuh pada malam atau hari Jumaat, jumlah bacaan Al-Fatihah akan ditambah
menjadi 7 kali, Al-Ikhlas sebanyak 33 kali dan Selawat ke atas junjungan besar
Rasulullah s.a.w. sebanyak 11 kali.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar